5 Sebab Kenapa Saya Ambil Insurans

5 Sebab Kenapa Saya Ambil Insurans

“Aku pelik la. Kau kan kerja doktor, gaji besar. Kalau masuk hospital, tunjuk GL je siap dapat 1st class lagi. Jadi, kau bayar insurans tu buat apa? Habiskan duit je bulan-bulan bayar, bukan pakai pun.”

Secara jujurnya, dari dulu memang saya benci insurans. Sebenarnya sampai sekarang pun masih benci, terutamanya syarikat dan ejen yang hanya mengambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab. Ayat atas tu memang skrip yang selalu ada dalam kepala. Saya paling benci bila ada ejen insurans yang cuba tahan saya nak promote produk dia. Tak kira la company mana, bagi saya semua sama je. Nak jual produk masing-masing, dapat kita punya tandatangan lepas tu sunyi sepi tanpa berita. Masa bercerita bukan main hebat dia punya senyum, dia punya manis berkata. Bila masa buat tuntutan, macam-macam alasan tak nak bayar.

Insurans yang saya pernah ambil sebelum ni semuanya atas desakan dari promoter atau telemarketer. Ala, yang jenis telefon orang tak berhenti tu walaupun kita dah cakap tak nak. Saya setuju sama ada sebab saya terpengaruh dengan hadiah sampingan yang kononnya percuma, ataupun sebab malas nak layan lama-lama lepas dengar dia punya cerita. Tapi lepas setuju, baru tahu semuanya indah khabar dari rupa.

Insurans/takaful yang saya ada sekarang ini lah yang pertama saya ambil sebab saya sendiri yang mahu. Saya sendiri yang cari kawan saya yang kerja ejen tu, baca sendiri produk, dan faham betul-betul sebelum bersetuju. Dulu insurans yang kena paksa ambil tu saya bayar bawah daripada RM100 sebulan je, tak banyak tapi rasa membazir je bayar. Tahu tak sekarang berapa saya bayar? RM600 sebulan! Campur insurans anak saya RM320 sebulan. Dekat RM1,000 habis duit gaji tapi buat pertama kali saya tak rasa membazir langsung.

1) MEDICAL CARD

Sebenarnya, tujuan asal saya cari kawan saya yang ejen insurans tu ialah sebab nak bertanya tentang medical card. Saya siap kata pada dia, saya hanya mahu medical card, insurans tak perlu sebab dah ada. Alhamdulillah, kawan saya ni memang sangat bagus. Buat pertama kali saya jumpa ejen insurans yang dari awal soalan, langsung tak cerita pasal produk dia, tapi lebih banyak bertanya tentang pengurusan/perlindungan kewangan saya.

Kalau nak diikutkan, boleh je dia terus kata, “Aku ada card jenis sekian-sekian, bayar sekian-sekian, kau nak yang mana? Pilih, pastu sign kat sini.” Macam standard promoter insurans yang tahan kita tepi jalan atau yang telefon kita tu, kerja nak minta kita sign aje. Tapi syukur Alhamdulillah, perbincangan berhari-hari dengan dia yang buka luas mata dan minda saya tentang insurans, medical card dan pengurusan kewangan secara amnya. Tapi saya kan doktor kerajaan. Kenapa nak ambil medical card?

2) ANTERIOR CRUCIATE LIGAMENT (ACL) TEAR

Saya pernah mengalami kecederaan lutut semasa bermain bola tampar dan telah pun selamat dibedah. Tapi anda tahu bila saya dibedah? Hampir 2 tahun dari tarikh saya ditimpa kecederaan. Jangan salah sangka ye, tidak saya kata rawatan hospital kerajaan salah atau teruk. Cuma ye la, ada penyebabnya tarikh pembedahan itu lambat. Dan tipu kalau saya katakan yang saya tidak menyesal. Sebab sampai sekarang saya rasa mungkin ‘outcome’ akan lain jika dulu saya dibedah lebih awal. Mungkin sekarang ni, minggu ini, saya ada di Melaka untuk pertandingan bola tampar MAKSAK peringkat kebangsaan, hahaha.

Jadi, walaupun saya kerja sebagai doktor kerajaan yang banyak faedahnya, saya rasakan punya medical card itu perlu bagi situasi tertentu. Jujur saya katakan saya sebenarnya lebih percaya dan yakin dengan hospital kerajaan berbanding swasta. Tetapi bagi beberapa situasi keadaan dan penyakit, fungsi hospital swasta itu ada untuk mendapatkan rawatan yang lebih cepat. Tapi kita semua ada ke duit nak walk-in pergi private bila-bila masa? Saya ni sedar yang saya tak mampu, jadi itulah sebabnya perlu pada medical card.

3) HIDUP BERHUTANG

Lepas pembedahan ACL tu, saya cuti sakit dekat 3 bulan. Bermakna 3 bulan dipotong elaun kritikal (RM750 sebulan) dan tiada ‘oncall claim’. Sakit, memang sakit! Baru saya perasan yang gaji saya sebenarnya sekadar cukup. Ternanti-nantikan tarikh masuk gaji bulan seterusnya. Itu baru potong elaun. Baru 3 bulan! Bayangkan anda sakit lebih lama dari itu. Bayangkan anda sakit sampai tidak boleh kerja langsung!

Gaji doktor mahal takkanlah tidak cukup? Bukan tidak cukup tapi lihat aturan kewangan anda dan saya pasti majoriti kita hidup dengan berhutang. Hutang rumah, hutang kereta, bil utiliti dan macam-macam lagi. Kecuali keluarga anda memang kaya melampau lah, mampu beli bayar habis tiada hutang. Tetapi saya yakin ramai di kalangan kita yang hidup berhutang dan kita berhutang itu mengikut kemampuan gaji kita. Sebab itu ada yang pandu Proton, ada yang pandu Honda. Kerana kita rasa kita mampu, dan punya wang lebihan untuk belanja.

Sekarang bayangkan RM750 ditarik secara tiba-tiba setiap bulan. Wang bulanan yang dirasakan cukup sebelum ini tiba-tiba terasa sempitnya. Lebih teruk bayangkan tidak dapat gaji terus. Mana nak korek duit untuk uruskan hutang dan beri makan pakai isteri dan anak?

4) ISTERI DAN ANAK

Dulu kita hidup sendiri, duit semua untuk diri sendiri. Jadi mana fikir pasal insurans ni. Tapi percayalah, bila dah ada tanggungan anda akan mula garu kepala. Bukan sebab anda tak mampu tanggung mereka, tapi anda fikir apa akan jadi dengan mereka bila anda tiada atau tiba-tiba kehilangan kerja.

Maka sebab itulah insurans itu perlu. Kita bayar bulan-bulan itu bukan untuk kita tetapi untuk mereka. Kita tidak mahu mereka susah kerana kita. Terutamanya bagi isteri yang tidak bekerja dan sumber pendapatan keluarga hanya daripada kita seorang.

Kalau anda mati, boleh juga isteri anda kahwin lain, ada suami baru untuk sara dia dan anak anda. Tapi kalau anda lumpuh? Kalau anda koma? Isteri yang bekerja pun terpaksa berhenti kerja nak jaga anda, suap makan, basuh kencing berak anda. Mana lagi nak datang duit? Harap ihsan keluarga terdekat dan bantuan jabatan masyarakat? Hutang yang ada sebelum ni macam mana? Bil air, elektrik, Astro, Unifi, bil telefon? Hutang kad kredit? Siapa nak bayar?

Mari kita buat pengiraan mudah. Contoh jika gaji anda RM5,000 sebulan. Bermakna setahun gaji anda RM60,000. Nampak banyak, nampak kaya. Tapi daripada RM5,000 itu sebenarnya lepas tolak hutang tolak komitmen, anda rasa berapa je yang tinggal untuk belanja. Jadi bayangkan jika apa-apa terjadi pada anda. Hilang RM750 sebulan pun dah menggelupur. Inikan pula RM60,000 setahun hilang dari pendapatan sedangkan keluarga anda sebelum ini berbelanja dan urusan kewangan keluarga adalah berdasarkan keyakinan yang anda punya wang sebanyak itu. Mana isteri anda nak cari duit untuk ganti RM60,000?

Maka di sinilah perlunya insurans atau wang pampasan. Jika anda ambil pampasan RM60,000 bermakna anda beri masa setahun pada anda dan keluarga untuk buat percaturan. Jika pampasan RM300,000 bermakna anda dan keluarga boleh duduk goyang kaki selama 5 tahun dengan cara hidup dan belanjawan yang sama.

5) DERMA DAN WANG SIMPANAN

“You pay for insurance not because you want to use it, but because you hope and pray that you will not use it. When you take insurance, the mindset has to be different.” Itu kata-kata bos saya. Memang betul kita rasa macam membazir bayar tiap-tiap bulan tanpa ada hasil. Seolah-olah wang itu hilang begitu saja. Tetapi jika anda faham konsep yang di atas tadi, saya rasa anda akan bayar dengan rela.

Tambahan pula, sekarang ini insurans ada konsep takaful dan cash value. Anda bayar itu bukan sia-sia. Selain menjadi tempat untuk dapat pulangan simpanan wang, anda juga insyaAllah dapat pahala atas derma takaful. Wang yang anda sumbangkan digunakan orang lain yang ditimpa malang. Itulah konsep takaful, dan bila tiba masa kita insyaAllah kita pula yang dibantu.

Kesimpulannya, ambil insurans atau tidak itu perlu pada pemahaman individu. Tiada yang boleh memaksa anda. Saya hanya sekadar berkongsi kerana ada yang bertanya, kenapa? Jika anda memang kaya, punya wang simpanan berpuluh atau ratusan ribu ringgit, saya rasa tak salah jika anda tidak mahu ambil. Tapi berapa ramai antara kita yang ada simpanan sebanyak itu. Saya mengaku, saya yang gaji doktor ini pun tidak ada.

Sebelum mengundur diri, saya hanya ada dua pesanan jika anda mahu tahu pasal insurans. Pertama, pilih ejen yang anda betul-betul kenal dan percaya dengan nyawa anda. You trust him/her with your life! Sebab dia akan ada dalam list speed dial anda sampai anda mati. Kedua, tanya berjuta-juta soalan dan faham sebetul-betulnya polisi yang anda ambil. Faham tentang inflasi, tentang nilai wang sekarang dan masa hadapan. Jangan nanti, anda tular bising dalam media sosial kata insurans tak bayar tuntutan anda, medical card tak cover atau insurans naikkan bayaran bulanan. Sedangkan hakikatnya, ia salah faham anda sendiri tentang polisi yang diambil atau ejen anda yang lari dan tidak bertanggungjawab.

Akhir kalam, semoga kita semua dan keluarga kita sentiasa dalam perlindunganNya, insyaAllah.

This Post Has 8 Comments

  1. sabri

    salam,kalau da buat pemedahan acl lepas tu baru nk buat insurans boleh ke.pemedahan acl insurans mane yg cover ye

    1. Nadjwa Shukri

      Boleh cuba apply tapi bergantung kepada kelulusan daripada syarikat insurans/takaful. Jika lulus sekalipun apa-apa yg berkait dgn pembedahan sebelumnya tidak cover.

      Secara umum semua insurans/takaful yg cover bil perubatan akan cover pembedahan acl jika berlaku disebabkan kemalangan dan bukan masalah yg wujud sejak lahir.

    2. Md Zurolhisham Bin Ahmad

      Salam mohon share.

  2. Nor Fathiah AR

    Salam. Mohon share ya ????

      1. Afiq

        Saya nak tanya. Dr kene acl. Pastu dr buat insurans. Insurans tu cover tak lagi kalo acl tu jadi lagi?

  3. shahayu

    mohon share

  4. nasuha

    mohon share

Leave a Reply