Bagaimana Membezakan Antara Skim Pelaburan Haram dan Skim Pelaburan Yang Diiktiraf

Bagaimana Membezakan Antara Skim Pelaburan Haram dan Skim Pelaburan Yang Diiktiraf

Tidak dinafikan pada zaman kelembapan ekonomi ramai yang mencari jalan singkat untuk cepat kaya. Jika tidak berhati-hati, anda juga boleh terjerumus ke dalam penipuan skim cepat kaya. Skim-skim seperti ini telah lama wujud di Malaysia. Antara yang mahsyur adalah Skim Pak Man Telo dan labu peram yang terkenal di sekitar tahun 80-an.

Akhbar melaporkan kes skim cepat kaya Pak Man Telo sebagai “salah satu skandal kewangan yang terbesar” di Malaysia, setanding dengan kes Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan kehilangan lebih RM22 juta dari Bank Negara Malaysia.

Bezanya, Pak Man Telo hanyalah seorang bekas wartawan dan bukanlah pakar dalam bidang ekonomi atau pun berkemahiran dalam sistem kewangan, tetapi dengan hanya bersandarkan kepercayaan daripada orang ramai, beliau mampu ‘berskandal’ (walaupun akhirnya tumpas) melibatkan jumlah wang yang sangat melampau. Skim Pak Man Telo meningkat popular dan mendapat kepercayaan daripada orang ramai kerana ia dikatakan berjaya mengekalkan pembayaran dividen dengan lancar kepada setiap pelaburnya dalam tempoh bertahun-tahun lamanya.

Sehingga ke hari ini, walaupun beratus-ratus skim cepat kaya telah ditumpaskan oleh pihak berkuasa, orang ramai masih terus terjebak dengan skim-skim seperti ini. Kita perlu ingat, takkanlah skim-skim ini mengaku bahawa mereka ini skim cepat kaya. Namun ada beberapa ciri persamaan atau modus operandi yang boleh kita perhatikan sebagai langkah pencegahan.

  1. Pemberian dividen atau profit yang tinggi dan tidak masuk akal. Kebiasaannya skim-skim ini menawarkan dividen yang lebih tinggi daripada kadar biasa yang diberikan oleh institusi kewangan dan pelaburan yang sah. Dividen ASB pun hanyalah sekitar 7-8% setahun. KWSP sekitar 5-7% dan unit trust berpotensi untuk memberi dividen yang lebih tinggi pada satu-satu masa, tetapi kadar biasa hanyalah sekitar 10-15% sahaja setahun. Tetapi dividen skim cepat kaya menjanjikan pulangan sehingga 10% setiap bulan! Jika pulangan pelaburan mereka sangat bagus, sudah tentu bank-bank yang mempunyai modal yang banyak telah terlebih dulu melabur.
  2. Pelaburan yang dijamin untung. Secara logiknya, tiada perniagaan atau pelaburan yang boleh menjamin keuntungan secara berterusan. Lumrah perniagaan pasti ada untung rugi. Kitaran ekonomi dunia pun ada turun naiknya.
  3. Perniagaan yang tidak pasti. Latar belakang syarikat yang samar-samar. Tidak dipastikan apakah perniagaan yang dilakukan, apakah produk yang diniagakan, dikilangkan di mana, dijual di mana, target customer dan sebagainya. Anda hanya akan diberitahu tentang pulangan yang banyak supaya mempengaruhi logik akal untuk berfikir dengan rasional.
  4. Punca keuntungan yang samar-samar. Bagaimana mereka menjalankan perniagaan sehingga mendapat pulangan berlipat kali ganda untuk membayar dividen yang tinggi kepada pelabur? Syarikat multi-billion dollar pun tak boleh lawan.
  5. Fokus adalah untuk mencari downline, bukannya menjual produk. Downline pula perlu melabur sebanyak sekian-sekian supaya anda dapat naik level dan sebagainya.
  6. Kaedah marketing yang fishy. Biasanya leader-leader mereka ini menggunakan kereta mewah, tunjuk duit berkepuk-kepuk dan sebagainya. Ini cuma perangkap supaya mangsa memakan umpan dan menyertai skim tersebut kerana telah dibuktikan boleh berjaya dan hidup mewah.
  7. Menggunakan nama orang terkenal dan berstatus tinggi sebagai duta untuk mempromosi. Artis atau selebriti bukanlah petunjuk bahawa pelaburan tersebut sah. Jika pelaburan tersebut ada endorsement daripada artis atau selebriti, ia tidak menjanjikan apa-apa pun.
  8. Menggunakan nama-nama arab supaya kedengaran Islamic. Jangan tertipu dengan nama. Nama arab tak bermaksud skim tersebut sah.
  9. Tiada penyata audit, interim, penyata kewangan tahunan, dan sebagainya. Pelaburan yang sah pasti ada penyata-penyata sebegini setiap tahun.
  10. Tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti dan tidak dipantau oleh Bank Negara Malaysia. Paling mudah, hubungi Suruhanjaya Sekuriti (SC) terus dan berikan maklumat tentang skim tersebut untuk mendapat jawapan yang lebih jelas.

Kesimpulannya, jika seseorang menawarkan anda dengan skim pelaburan yang nampak seperti ‘too good to be true’ kemungkinan besar ianya memang ‘too good to be true’. Maka berhati-hatilah sebelum nasi menjadi bubur.

 

Leave a Reply