Hibah dan Perlaksanaan

Konsep Hibah

DALAM Islam, hibah adalah salah satu cara pemilikan harta yang sah di sisi syarak. Ia berkait rapat dengan beberapa konsep pemilikan harta yang lain seperti wasiat, wakaf dan faraid. Namun, hukum dan ciri-ciri konsep tersebut berbeza antara satu sama lain.

Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau manfaat, manakala mengikut istilah syarak, hibah merupakan suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan (‘iwad).

Pensyariatan hibah dalam Islam

Hibah merupakan suatu amalan sunat dan digalakkan dalam Islam. Ini adalah berdasarkan kepada bukti-bukti al-Quran, sunah dan ijmak.

Ia dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 4)

“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” (Surah al-Baqarah ayat 177)

Selain daripada dalil yang terdapat dalam al-Quran, pelaksanaan hibah juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud:

“Nabi SAW menerima dan membalas hadiah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Antara rukun dan syarat yang perlu dipenuhi dalam kontrak hibah adalah seperti berikut:

1. Pemberi hibah (al-wahib)

Pemberi hibah perlu seorang ahliyyah yang sempurna akal, baligh dan rusyd. Mereka juga mestilah memiliki harta yang dihibahkan dan berkuasa penuh ke atas hartanya.

2. Penerima hibah (al-mawhub lahu)

Penerima hibah mestilah mempunyai keupayaan untuk memiliki harta sama ada mukalaf atau bukan mukalaf. Sekiranya penerima hibah adalah bukan mukalaf seperti belum akil baligh atau kurang upaya, maka hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah.

3. Harta yang dihibahkan (al-mawhub)

Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di sisi syarak, di bawah pemilikan pemberi hibah, mampu diserahkan kepada penerima hibah dan wujud ketika harta berkenaan dihibahkan.

4. Lafaz ijab dan kabul (sighah)

Lafaz ijab dan kabul merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.


Hukum penarikan semula atau pembatalan hibah

Timbul persoalan, adakah pemberi hibah boleh menarik balik setelah hibah dilakukan?

Perkara itu menjadi perselisihan dalam kalangan fuqaha’. Menurut pendapat mazhab Hanafi, hukum pemberi untuk menarik balik hibah yang telah diberikan adalah makruh dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd) kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).

Ini berbeza dengan pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki iaitu penarikan balik hibah boleh berlaku sekiranya ijab dan kabul berlaku tanpa ada penyerahan harta hibah.

Namun, sekiranya penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) berlaku, maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya.

Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya…” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Keistimewaan pemberian hibah

1. Pemberian hibah tidak dihadkan kepada sekumpulan orang tertentu. Ia berbeza dengan sistem faraid yang memberikan hak hanya kepada ahli waris-waris tertentu, manakala wasiat mengecualikan waris sebagai penerima wasiat.

2. Kadar pemberian hibah adalah tidak terhad kepada jumlah tertentu. Ia berbeza dengan konsep wasiat iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi sepertiga daripada harta pusaka bersih dan faraid mengikut kadar-kadar tertentu seperti yang diturunkan di dalam al-Quran.

3. Pemberi hibah boleh menentukan sendiri kepada siapa harta dan jumlah hendak diagihkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dari segi kedudukan ekonomi dan keperluan semasa waris-warisnya.

Ini kerana, kebiasaannya keperluan seseorang individu dengan individu yang lain adalah berbeza.

Kesimpulannya, konsep hibah boleh dianggap sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam.

Konsep hibah amat sesuai diamalkan oleh masyarakat terutama untuk mengagihkan harta kepada pihak-pihak yang tidak berkemampuan tanpa mengehadkan kepada kadar dan golongan tertentu.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *