Pelepasan Cukai dan Insentif Untuk PRS

Insentif RM500 Kerajaan Untuk PRS

Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan pada 25 Oktober 2013, Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500 kepada pencarum yang menyertai skim PRS untuk memupuk kepentingan menabung dari usia muda. RM500 ini adalah sumbangan oleh Kerajaan sebagai galakkan kepada golongan belia berumur antara 20 hingga 30 untuk menyertai pelaburan jangka panjang. PRS atau Private Retirement Scheme mula diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2012 sebagai inisiatif tambahan kepada tabung persaraan sedia ada. Berbanding skim KWSP yang diwajibkan ke atas semua pekerja, PRS lebih bersifat sukarela. Ia juga sesuai disertai oleh individu yang bekerja sendiri yang mana tidak mempunyai akaun KWSP.

Baca tentang PRS di sini

Kelayakan pemberian insentif:

  1. Individu rakyat Malaysia yang telah membuka akaun atau baru membuka akaun PRS
  2. Berusia tidak kurang 20 tahun dan tidak melebihi 31 tahun mengikut tarikh lahir
  3. Telah menyimpan sekurang-kurangnya RM1,000 dalam akaun PRS pada tahun yang sama

Pelepasan Cukai RM3,000 Untuk PRS

Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012, seseorang individu layak untuk menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM3,000 setahun untuk PRS. Pelepasan cukai individu ini dikira daripada sumbangan kasar, iaitu termasuk caj pendahuluan.

Contohnya, jika seorang individu melabur RM3,000 dan ditolak RM10 untuk yuran pembukaan akaun, dan RM50 untuk caj jualan, RM3,000 penuh layak untuk pelepasan cukai, dan bukannya RM2,940.

Pelepasan cukai sehingga RM3,000 setahun akan dikenakan ke atas pendapatan boleh cukai, sumbangan individu dibuat kepada PRS bagi 10 tahun pertama bermula tahun taksiran 2012. Anda boleh menuntut pelepasan cukai untuk PRS di bawah Seksyen F-F18 daripada Borang BE, yang boleh didapati di laman web Lembaga Hasil dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di www.hasil.gov.my

 

Leave a Reply