Perkara Yang Menyebabkan Tuntutan Ditolak

Perkara Yang Menyebabkan Tuntutan Ditolak

Pasti anda pernah mendengar aduan-aduan tentang syarikat takaful/insurans yang tidak membayar tuntutan sepertimana yang telah dijanjikan. Tidak keterlaluan jika dikatakan perkara ini adalah salah satu sebab mengapa kadar penembusan takaful di kalangan rakyat Malaysia hanyalah sekitar 15% sahaja, dan kebanyakannya adalah under-insured. Sesetengah orang menyangka proses membuat tuntutan adalah rumit dan sukar untuk diluluskan.

Jika diteliti, hampir kesemua kes aduan ini adalah disebabkan peserta tidak memahami polisi mereka sendiri. Percaya atau tidak, ramai peserta takaful tidak pernah membaca polisi mereka. Mereka bergantung 100% kepada agent yang mana kadang-kadang agent pun tidak menerangkan kesemuanya.

Industri takaful dan insurans adalah dikawal sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia. Syarikat takaful tidak boleh sesuka hati menolak claim jika ia dinyatakan dalam polisi dan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan. Polisi takaful adalah satu kontrak yang dipersetujui antara syarikat takaful dan pemegang polisi.

Secara umumnya, sebarang keadaan yang wujud sebelum peserta mencarum takaful adalah tidak dilindungi (pre-existing). Contohnya peserta yang telah menghidap penyakit jantung sebelum menyertai takaful, apabila berlaku sesuatu musibah yang berkenaan dengan penyakit sedia ada tersebut, adalah tidak dilindungi.

Bagi penyakit-penyakit kritikal, peserta perlu melalui proses waiting period antara 30-120 hari sebelum layak membuat tuntutan. Ini adalah untuk memastikan peserta benar-benar sihat sewaktu menyertai takaful dan bukannya telah menghidap penyakit kritikal sebelum menyertai.

Manakala bagi kes-kes kemalangan, perlindungan adalah berkuatkuasa serta-merta sebaik sahaja permohonan diluluskan.

Saya senaraikan di bawah beberapa keadaan umum yang tidak dilindungi oleh sijil takaful.

(Senarai ini adalah standard bagi kebanyakan syarikat takaful/insurans. Untuk senarai yang lebih spesifik, rujuk policy anda)

Pengecualian ke atas Manfaat Kematian

  • Jika Orang Yang Dilindungi, sama ada waras atau tidak, membunuh diri dalam tempoh satu(1) tahun daripada tarikh Sijil Takaful berkuatkuasa, atau meninggal dunia disebabkan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) atau penyakit yang disebarkan secara seksual, tiada manfaat akan dibayar.Syarikat akan memulangkan semula jumlah terkumpul yang terdapat di dalam UF(nilai unit pada tarikh penilaian semasa tarikh proses) dan lebihan boleh-agih bersih daripada Dana Risiko, jika ada, kepada waris Orang Yang Dilindungi

Pengecualian Utama yang lain (kecuali bagi Manfaat Kematian)

  1. Peperangan, penaklukan, ancaman musuh luar, permusuhan atau operasi-operasi berbentuk peperangan (sama ada peperangan diisytiharkan ataupun tidak) atau perang saudara
  2. Pemberontakan, rusuhan awam, pemberontakan tentera atau orang awam, insureksi, penentangan, revolusi, perintah berkurung atau darurat atau apa-apa jua peristiwa ataupun penyebab yang boleh menentukan pengisytiharan ataupun penyelenggaraan perintah berkurung ataupun darurat
  3. Sebarang kegiatan pengganas
  4. Disebabkan oleh atau lanjutan daripada bunuh diri atau cubaan membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dengan sengaja atau dibawah pengaruh alkohol atau narkotik atau dadah
  5. Ketidakupayaan yang ditanggung oleh Orang Yang Dilindungi apabila melibatkan diri, mengendalikan atau melakukan servis, menaiki atau menuruni daripada atau dengan sebarang alat penerbangan atau kenderaan termasuk terjunan udara, payung terjun, lompatan bungee, peluncuran gantung atau belon udara kecuali apabila Orang Yang Dilindungi berada di dalam kapal terbang yang dikendalikan oleh penerbangan komersial dengan jadual penerbangan yang teratur mengikut destinasi yang telah ditetapkan;
  6. Keilatan bermula sebelum penerimaan perlindungan (pre-existing condition)
  7. Sebarang ketidakpatuhan undang-undang oleh Orang Yang Dilindungi atau kesalahan yang dicetuskan olehnya
  8. Terlibat dalam sebarang aktiviti dalam air yang menggunakan alat pernafasan tiruan
  9. Kecederaan yang disebabkan oleh pembelahan nuklear, percantuman nuklear, alat senjata nuklear atau pencemaran radioaktif
  10. Sindrom Kekurangan Daya Ketahanan Melawan Penyakit (AIDS) dan sebarang keadaan yang berkaitan dengan AIDS
  11. Rawatan Penjagaan Harian, pembedahan kosmetik atau plastik, penjagaan gigi dan rawatan, transformasi jantina
  12. Berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran bayi
  13. Ujian atau rawatan berkaitan ketidaksuburan, pencegahan hamil, pemandulan, berkhatan atau sebarang pengguguran dilakukan kerana sebab-sebab psikologi atau sosial, dan akibat daripadanya

Leave a Reply