Unit Trust – Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Melabur
Plants

Unit Trust – Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Melabur

Ingin melabur dalam unit trust? Pastikan anda bertanya soalan-soalan berikut kepada ejen anda sebelum melabur.

  1. Adakah dana unit amanah ini berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti?

    Semua produk unit amanah mestilah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia (SC). Untuk memastikan produk pelaburan itu didaftarkan dengan SC, hubungi: 03-6204 8000 dan minta untuk disambungkan kepada Jabatan Tabung Amanah dan Pelaburan atau lawati laman web SC di www.sc.com.my

  2. Sudah berapa lamakah syarikat unit amanah itu beroperasi? Apakah rekod atau prestasi syarikat itu dalam memberikan pulangan kepada pelabur?

    Laporan tahunan dapat memberikan maklumat berkenaan rekod prestasi dan pengalaman sesuatu syarikat unit amanah, termasuklah syarikat yang menguruskan dana tersebut (jika dana itu diuruskan oleh pengurus dana luar). Bacalah laporan tahunan dengan teliti sebelum melabur.

  3. Adakah dana itu menepati matlamat pelaburan dan profile risiko saya?

    Sekarang ini, ada banyak jenis dana di pasaran, setiap satu dengan ganjaran dan risiko tersendiri. Oleh itu anda perlu memahami dana yang ditawarkan dan memilih dana yang benar-benar menepati matlamat pelaburan dan profil risiko anda. Jangan biarkan diri dipaksa oleh mana-mana ejen untuk melabur dalam dana yang tidak bersesuaian dengan matlamat pelaburan anda.

  4. Adakah dana itu menepati matlamat pelaburan dan profile risiko saya?

    Setiap dana unit amanah mempunyai strategi pelaburannya sendiri untuk memenuhi objektif pelaburan. Contohnya, bagi dana ekuiti, pada umumnya, kebanyakan daripada aset dana itu dilaburkan dalam ekuiti syarikat tersenarai di pasaran saham. Sebaliknya, dana bon pula akan melaburkan kebanyakan dananya dalam produk bon. Amat penting bagi pelabur mengetahui dalam produk pelaburan manakah dana itu melabur, kerana ini mempunyai implikasi terus ke atas tahap toleransi risiko pelabur. Jika dana itu melabur dalam produk pelaburan berisiko tinggi, dana unit amanah itu sendiri akan menjadi pelaburan berisiko tinggi.

  5. Di manakah wang saya akan dilaburkan?

    Setiap dana mempunyai ukur rujuknya (benchmark) sendiri (sesuatu yang anda boleh jadikan ukuran prestasinya), yang dinyatakan dalam prospektus. Anda boleh membandingkan kadar pulangan dana anda dengan ukur rujuk tersebut. Ukur rujuk yang biasa bagi dana ekuiti ialah Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) manakala bagi dana bon, biasanya ialah pada kadar purata 12 bulan deposit tetap bank-bank. Selain itu, bandingkan dana anda dengan dana lain yang mempunyai kriteria yang sama. Unit amanah yang lebih kompleks mungkin mempunyai ukur rujuk yang lebih kompleks.

  6. Bagaimana untuk mengukur prestasi sesuatu dana? Perlukah saya membandingkannya dengan dana lain?

    Pulangan daripada unit amanah boleh berbentuk:
    i.    Keuntungan modal (jika pergerakan harga unit memuaskan), atau
    ii.    Dividen (jika syarikat pengurusan mengumumkan bayaran dividen)
    Pastikan ejen anda memberikan penerangan mengenai perkara ini dan baca prospektus.

  7. Adakah terdapat sebarang bayaran atau caj jika saya melabur dalam dana ini?

    Setiap pelaburan mempunyai kosnya yang tersendiri dan begitu juga dengan dana unit amanah. Antara caj-caj yang dikenakan ialah:
    i.    Caj pengagihan/transaksi seperti caj jualan dan/atau caj penebusan apabila anda membeli dan menjual unit
    ii.    Bayaran pengurusan
    iii.    Bayaran pemegang amanah
    Pastikan ejen anda memberitahu tentang caj-caj yang akan dikenakan. Maklumat mengenai bayaran caj juga boleh didapati di dalam prospektus.

  8. Jika saya mengubah fikiran selepas melabur dalam sesuatu dana, bolehkah saya menjualkannya semula kepada syarikat itu dan mendapat bayaran balik sepenuhnya?

    Pelabur diberikan “tempoh bertenang” (cooling off period) iaitu masa untuk memikirkan semula sama ada mereka mahu meneruskan pelaburan dalam dana unit amanah itu atau tidak. Tempoh bertenang ialah selama enam (6) hari bekerja daripada hari pelaburan dibuat. Tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, pelabur unit amanah berhak mendapat balik bayaran sepenuhnya jika dia memutuskan untuk tidak meneruskan pelaburan dalam tempoh yang ditetapkan. Tempoh bertenang adalah hak anda! Keterangan lanjut mengenai tempoh bertenang ada dinyatakan dalam prospektus.

  9. Bolehkah saya menjual semula unit yang telah saya beli? Berapa lamakah masa yang diambil untuk mendapatkan semula wang saya?

    Ya. Anda boleh menjual semula unit yang telah dibeli. Dapatkan maklumat daripada ejen anda berkaitan tenpoh masa yang diambil untuk mendapatkan semula wang anda.

  10. Adakah saya akan menerima apa-apa penyata daripada syarikat pengurusan dana berkaitan dengan status pelaburan saya?

    Ya. Dapatkan penjelasan daripada ejen anda berkaitan penerimaan penyata tersebut.

  11. Bagaimana untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana tersebut?

    Kebanyakan maklumat mengenai sesuatu dana unit amanah boleh diperolehi dalam prospektus dan laporan tahunannya. Dapatkan prospektus daripada ejen anda dan baca dengan teliti sebelum melabur.

Leave a Reply