Apa Itu Unit Amanah (Unit Trust)
Unit amanah adalah satu skim pelaburan yang mengumpul wang daripada ramai pelabur yang mempunyai objektif kewangan yang sama.
Dana ini diuruskan oleh sekumpulan pengurus dana profesional yang melaburkan wang terkumpul itu dalam portfolio sekuriti seperti saham, bon dan instrumen pasaran wang atau lain-lain sekuriti yang dibenarkan untuk mencapai objektif dana.
Pendapatan dana diperoleh daripada pelaburan sama ada dalam bentuk pengagihan pendapatan dan/ atau keuntungan modal. Pendapatan ini kemudian diagihkan sebagai wang ringgit atau unit kepada semua pemegang unit; mengikut pegangan unit masing-masing.
Maklumat untuk pelabur: Bergantung kepada prestasi dana, pelabur unit amanah mempunyai peluang untuk memperolehi keuntungan dalam bentuk keuntungan modal dan/ atau pengagihan pendapatan.
Perkara yang perlu diberi perhatian dalam memilih unit amanah
Ketika memilih unit amanah, cari maklumat berkaitan dengan ahli lembaga pengarah dan tenaga pengurusan utama syarikat pengurusan dana tersebut. Anda perlu menilai kekuatan kewangan, rekod prestasi serta kepakaran syarikat dan kakitangannya. Carilah maklumat mengenai perkara ini kerana merekalah yang akan menguruskan wang anda.
Selain itu, beri perhatian kepada objektif dan strategi pelaburan dana, had pelaburan, portfolio semasa dan apa-apa ulasan mengenai prestasi terkini dana. Maklumat ini sepatutnya dapat memberi gambaran kasar mengenai tahap risiko dana tersebut.
Kaji prestasi dana pada masa lampau tetapi jangan terlalu menumpukan perhatian terhadap prestasi yang ditunjukkan dalam tempoh satu tahun atau kurang. Beri perhatian kepada prestasi yang konsisten pada jangka masa panjang. Tetapi, anda harus ingat bahawa prestasi dana pada masa lalu tidak menjamin prestasi yang baik pada masa akan datang.
Perhatikan jika ada ciri-ciri khusus dana itu yang mungkin tidak sesuai dengan keperluan dan keutamaan anda. Contohnya, dana tersebut mungkin mempunyai dasar tidak mengagihkan pendapatan, memerlukan nilai pelaburan minimum yang lebih tinggi daripada jumlah yang anda mampu atau terdapat sebarang peraturan mengenai belian dan jualan unit yang mungkin tidak bersesuaian dengan matlamat pelaburan anda.
Baca prospektus
Prospektus adalah satu dokumen yang sangat penting kerana ia menyatakan objektif pelaburan, strategi/ polisi pelaburan serta risiko dan ganjaran suatu dana unit amanah. Walaupun ia mungkin sukar kerana mengandungi sebahagian terma yang tidak difahami, anda mesti membacanya juga untuk menentukan sama ada matlamat dan sasaran anda adalah selari dengan dana itu. Sementara itu, anda boleh merujuk kepada penyata kewangan untuk menilai jika dana tersebut masih mengikut perancangan dan bagaimana prestasi semasanya.
Sebagai pelabur, anda sepatutnya mempertimbangkan faktor-faktor berikut apabila memilih suatu dana unit amanah:
- Objektif pelaburan – perhatikan sama ada objektif pelaburan dana itu sesuai dengan objektif pelaburan anda.
- Polisi pelaburan – jenis pelaburan dan strategi yang dibenarkan perlulah sama dengan pegangan dan prinsip anda.
- Saiz dana itu dan aliran pertumbuhan
- Sebarang sekatan pelaburan, seperti pelaburan minimum yang diperlukan.
- Tahap risiko pelaburan – Ingat bahawa unit amanah tidak terlepas daripada risiko sepenuhnya.
- Jenis dan jumlah yuran – dapat memberikan gambaran mengenai apa dan berapa jumlah yuran yang perlu dibayar di kemudian hari.
- Prestasi dana seperti jumlah pulangan setahun, nilai aset bersih (NAV) iaitu nilai bagi setiap unit, nisbah belanja, pengagihan pendapatan kepada pelabur dan pertumbuhan aset. Ini untuk membolehkan anda mengukur prestasi dana selama ini.
- Portfolio pelaburan terkini – supaya anda dapat mengetahui peratusan pegangan bagi setiap jenis aset.
- Maklumat berkaitan Lembaga Pengarah, kumpulan pengurusan utama (terutamanya pengurus dana), juruaudit dan pemegang amanah.
Kesimpulan
Walaupun terdapat undang-undang dan garis panduan untuk membantu melindungi pelabur, menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk menilai kesesuaian, prestasi dan keupayaan sesuatu dana pelaburan untuk membuat keputusan sama ada hendak melabur atau tidak berdasarkan keadaan dan toleransi anda terhadap risiko.